Idea penubuhan pusat hemodialisis ini timbul dari perbincangan di kalangan ahli-ahli Badan Nadwah Islamiah Pahang (NADWAH) pada awal tahun 1999 setelah menyedari kurangnya pusat rawatan hemodialisis di daerah Kuantan.

Pada waktu itu, pusat rawatan hemodialisis di Kuantan hanya terdapat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Hospital Pakar Kuantan, Pusat Hemodialisis Persatuan Buddha Pahang dan di Ibu Pejabat Kontijen Polis, Kuantan.

Majlis pelancaran penubuhan PHIM telah di laksanakan pada 26 Februari 2000 oleh YH Dato’ Hj Abdul Muttalib bin Haji Mohd Ali Al Fakhwie, Timbalan Yang DiPertua MUIP (ketika itu) di Masjid Saidina Omar Al-Khattab, Perkampungan Cenderawasih, Kuantan.

Pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan telah bersetuju melatih empat (4) orang kakitangan Yayasan PHIM selama sembilan (9) bulan mulai 1 April 2000, tanpa dikenakan apa-apa bayaran. Dengan latihan tersebut, maka kesemua pembantu dialisis berkenaan telah mempunyai kemahiran asas yang diperlukan dan berkemampuan untuk mengendalikan operasi mesin hemodialisis serta rawatan asas kepada pesakit.

Pendaftaran rasmi atas nama Yayasan Pusat Hemodialisis Islam Makmur telah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan kelulusan telah pun diperoleh pada 28/09/2000. No. pendaftaran awal diberikan ialah 1236.

Pada 05 Februari 2001, Yayasan PHIM telah memulakan operasi pusat dialisis di No. 121, Bangunan MUIP, Jalan Mahkota, 25000 Kuantan dengan bilangan pesakit awal seramai 2 orang.

Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang telah berkenan merasmikan PHIM pada 07 September 2001 (19 Jamadil Akhir 1422H) dalam satu majlis yang bertempat di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Pada penghujung tahun 2005, Yayasan PHIM telah pun menyewa kedai yang bersebelahan bagi pembesaran operasi dialisis. Kerja ubah suai selesai pada 26 Februari 2006, membolehkan pusat dialisis ini memuatkan 14 buah mesin yang mampu merawat sehingga seramai 84 orang pesakit pada satu-satu masa.

Pada pertengah tahun 2012, Yayasan PHIM telah menyewa premis baru yang terletak di No. 168, Tingkat Bawah, Jalan Besar, 25000 Kuantan bagi tujuan memindahkan operasi dialisis tersebut.

Premis baru ini mula beroperasi pada 16/11/2013, dilesenkan dengan keupayaan 22 mesin normal dan sebuah mesin untuk pesakit hepatitis C. Pusat dialisis ini mampu memberikan rawatan kepada 132 orang pesakit normal dan 6 orang pesakit hepatitis C.

Go to top